Legenda Ajax dan Barcelona, Frank De Boer kembali dalam kancah kejurulatihan setelah dilantik sebagai pengendali kelab Timur Tengah, Al Jazira yang beraksi dalam kancah Liga Pro Emiriah Arab Bersatu (UEA) dengan kontrak selama dua tahun.
Perlantikan De Boer tersebut diumumkan menerusi pelbagai media sosial kelab tersebut dan turut melibatkan wartawan bola sepak terkemuka dunia, Fabrizio Romano di dalam video pengumuman yang berdurasi 37 saat.
Namun begitu, ini bukanlah kali pertama De Boer berada di tanah Arab. Menuju ke penghujung kariernya sebagai pemain, jurulatih kelahiran Hoorn itu pernah beraksi di Qatar bersama Al-Rayyan dan Al-Shamal.
𝗛𝗘𝗥𝗘 𝗪𝗘 𝗚𝗢! @FabrizioRomano 🗣️#دي_بور_جزراوي 🇳🇱#DeBoerAnnounced 🇳🇱 pic.twitter.com/10ERi6hu7e
— نادي الجزيرة (@aljazirafc) June 5, 2023
Sebelum ini, pengendali berusia 53 tahun itu telah berehat selama dua tahun selepas meninggalkan skuad kebangsaan Belanda apabila mereka tewas kepada Republik Czech di Pusingan 16 EURO 2020 sekaligus menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada tahun 2022.
Karier De Boer sebagai pemain lebih banyak tertumpu dengan kejayaan di Ajax yang menyaksikan dirinya memenangi semua kejuaraan yang dipertandingkan di Belanda sepanjang 11 musim sebelum berhijrah ke Barcelona untuk membantu kelab itu memenangi La Liga pada musim 1998-1999.
Sebagai jurulatih, De Boer telah membantu Ajax muncul juara bertahan Eredivisie sejak musim 2010-11 sehingga 2013-14. Selain itu, beliau turut berjaya memacu Atlanta United dalam musim pertamanya menjuarai Piala Terbuka AS dan Piala Campeones.
Featured Image: Al Jazira Football Club