FAM Dapat Tajaan Pengeluar Minuman Bertenaga Indonesia Selama Setahun
June 6, 2023 Hafizuddin Omar

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tajaan terbaru dan ianya daripada sebuah syarikat pengeluar minuman bertenaga, PT Toedjoe dari negara jiran tetangga iaitu Indonesia selama setahun.

Perkembangan itu hadir menerusi makluman daripada FAM sendiri selepas menandatangani perjanjian di antara FAM dengan salah satu jenama produk yang dikeluarkannya, Extra Joss di Wisma FAM, Kelana Jaya pada petang tadi.

“Seperti yang kita tahu, Extra Joss merupakan antara jenama minuman tenaga terkenal dan menerusi kerjasama yang dimeterai hari ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan prestasi pemain Harimau Malaya beraksi, malah mampu menjadi jambatan persahabatan antara dua negara.

“Mewakili Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan seluruh warga kerja FAM, saya amat mengalu-alukan kedatangan Extra Joss sebagai rakan minuman tenaga rasmi FAM dan mengharapkan kerjasama ini akan mendatangkan manfaat buat skuad bola sepak kebangsaan serta Extra Joss,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaa FAM, Dato’ Sri Shahril.

Sementara itu, wakil Extra Joss, Fanny Kurniati cukup teruja untuk memulakan kolaborasi bersama FAM lebih-lebih lagi menjelang perlawanan antarabangsa Tier 1 pada 14 dan 20 Jun kelak di Terengganu.

“Kolaborasi bersama FAM amat istimewa buat kami di Extra Joss kerana kami tahu jenama Harimau Malaya adalah cukup signifikan buat peminat-peminat bola sepak di Malaysia.

“Kami juga melihat kolaborasi ini sebagai peluang keemasan buat kami untuk memperluaskan lagi serta menembusi pasaran tempatan selain mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif menerusi Extra Joss.

“Extra Joss mempunyai visi untuk menjadi pakar tenaga nombor satu di Asia Tenggara.  Tujuan Extra Joss untuk memberi tenaga kepada orang ramai untuk mencapai prestasi yang luar biasa dan berkembang maju dalam dunia yang kompetitif. Extra Joss menyediakan penggalak tenaga segera dan fokus untuk bekerja lebih jauh dan menjadi juara,” ujar Ibu Fanny.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen