Menteri KKD Bakal Dilantik Sebagai Patron KL City Secara Bersyarat – Presiden KLFA
June 7, 2023 Meor Mohamad Amirul

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bakal dilantik sebagai penaung (patron) kelab yang berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur City FC (KL City) secara bersyarat. 

Perkara tersebut disahkan Presiden Kuala Lumpur FA (KLFA), Khalid Abdul Samad dalam sidang media yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pagi tadi. 

“Sehubungan dengan itu, saya telah mendapat pengesahan daripada YB Fahmi Fadzil untuk menjadi patron bagi pasukan KL City dan dia meletakkan syarat-syarat.”

“Saya nak kena sebut jugalah syaratnya. Syaratnya, saya dan KL City tidak mendapatkan pembiayaan daripada syarikat telekomunikasi di bawah kementeriannya.”, ujar Khalid.

Jelas Khalid, syarat tersebut adalah untuk mengelakkan rasa terhutang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi kerana membantu usaha KL City dan pihaknya akan cuba untuk mendapatkan penajaan daripada sumber-sumber lain. 

Perlantikan Fahmi Fadzil juga bakal menyaksikan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menjadi penaung ketiga kelab tersebut selepas posisi itu pernah diisi dua mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Khalid turut membuka peluang kepada mana-mana syarikat automobil berasaskan elektrik untuk menjadi sebahagian daripada KL City yang kini menjadi duta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mengangkat tema Kuala Lumpur Ke Arah Bandar Raya Rendah Karbon.

Featured Image: Kementerian Komunikasi dan Digital

Komen