Pasukan yang menghuni tangga kedua Liga Super pada ketika ini, Selangor FC mengumumkan mengikat kerjasama baharu dengan jenama syarikat minuman tenaga dari Indonesia, PT Bintang Toedjoe yang memiliki jenama yang tidak asing dalam kalangan penduduk Malaysia, Extra Joss.
Kerjasama itu hadir setelah Selangor FC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Johan Kamal Hamidon serta Pengarah Urusan PT Bintang Toedjoe, Fanny Kurniati menandatangani dokumen perjanjian kerjasama dalam satu majlis bertempat di Pusat Latihan Selangor FC, pada hari ini.
Turut dimaklumkan, kerjasama strategik melibatkan kedua-dua pihak ini berlangsung selama setahun. Namun begitu, kedua-dua entiti Selangor FC dan PT Bintang Toedjoe menutup mulut mengenai jumlah penajaan tersebut.
Untuk makluman, hasil kerjasama ini, logo Extra Joss akan dipaparkan pada bahagian bawah seluar jersi rasmi skuad berjulukan Gergasi Merah tersebut disamping aktiviti penjenamaan di stadium pada hari perlawanan serta beberapa aset digital platform media sosial Selangor FC.
Sebagai rekod, kehadiran Extra Joss dalam kancah bola sepak Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu.
Semalam, mereka turut mengesahkan penajaan terhadap badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan tempoh yang sama iaitu selama setahun.
Sebagai tambahan, tahun lalu mereka turut menjadi penaja kepada sebuah lagi kelab bola sepak yang beraksi dalam kancah Liga Super iaitu Sri Pahang FC.