Terbuka Singapura: Pearly-Thinaah Pulang Awal Akibat Kecederaan
June 7, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan wanita No.1 negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terpaksa pulang awal ekoran kecederaan yang dialami Pearly ketika menentang pasangan Jepun, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi pada Pusingan 32 Terbuka Singapura, hari ini. 

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah kecundang pada set pertama dengan skor 13-21 sebelum bangkit pada set kedua menerusi pungutan mata 21-17. Akan tetapi kecederaan Pearly menghalang usaha beregu ini untuk meneruskan set ketiga ketika skor 9-16 sekaligus terpaksa berhenti selepas 58 minit permainan berlangsung. 

Kekalahan itu sekaligus menamatkan rentetan kemenangan yang dicatatkan gandingan negara itu dalam tiga pertemuan sebelum ini. 

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi diagnosis pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan kecederaan yang dialami atlet berusia 23 tahun itu hanyalah kecederaan ringan berikutan ketegangan otot di bahagian lengan.

Bagaimanapun, BAM dan ISN tidak mendedahkan selama mana Pearly akan berehat atau kemungkinan juara Terbuka Perancis 2022 ini terlepas saingan Terbuka Indonesia yang bertaraf Super 1000.

Sebelum ini, gandingan Pearly-Thinaah pernah berehat panjang ekoran kecederaan hamstring dan tendon lutut dialami Pearly yang menyaksikan mereka berehat lebih lima minggu pada September tahun lalu.

Sebagai tambahan, ini merupakan perlawanan pertama gandingan wanita kebangsaan selepas melakar kejayaan meraih naib juara di Malaysia Masters 2023 pada Mei yang menyaksikan mereka beraksi selama tujuh jam secara keseluruhan sepanjang kejohanan.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen