Juara Liga Pro Saudi Ikat Karim Benzema Selama 3 Tahun
June 7, 2023 Hafizuddin Omar

Selepas kedatangan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali ke Al Nassr iaitu Cristiano Ronaldo, kancah Liga Pro Saudi dihiasi seorang lagi pemain bola sepak bertaraf bintang iaitu Karim Benzema.

Penyertaan penyerang Perancis berusia 35 tahun dalam saingan bola sepak Arab Saudi itu disahkan selepas kelab yang menjuarai Liga Pro Saudi 2022-23, Al Ittihad mengumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosialnya, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Dimaklumkan, Benzema yang membantu Real Madrid menjuarai Copa Del Rey serta naib juara La Liga musim ini diikat oleh skuad berjulukan Al Numoor (The Tigers) selama tiga tahun iaitu sehingga tahun 2026.

Sepanjang musim lalu, Benzema turut memberikan impak yang tinggi bersama Real Madrid. Berdasarkan rekod, pemenang Ballon d’Or 2022 ini mencetak 31 gol serta mencipta enam bantuan gol daripada 43 penampilannya dalam pelbagai kejohanan.

Untuk makluman semua, kelab baharu yang disertai Benzema ini dikendalikan oleh bekas pengurus Tottenham Hotspur kelahiran Portugal iaitu Nuno Espirito Santo.

Sebagai tambahan, kelab yanh ditubuhkan sejak 1927 ini berpangkalan di Jeddah dan beraksi di King Abdullah Sport City Stadium sebagai halaman utamanya.

Featured Image: Al Ittihad

Komen