Presiden KLFA Harap DBKL Pertimbang Tambahan RM5 Juta Kepada KL City
June 7, 2023 Meor Mohamad Amirul

Presiden Kuala Lumpur FA (KLFA), Khalid Abdul Samad berharap Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat mempertimbangkan pertambahan dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada RM5 juta kepada RM10 juta. 

Untuk makluman, DBKL selaku penaja utama Kuala Lumpur City FC (KL City) telah menyalurkan dana sebanyak RM5 juta secara konsisten musim demi musim sejak 2020 lagi kepada pasukan itu.

Khalid turut mendedahkan, KL City sepatutnya mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun 2020 yang telah diluluskan semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum berlakunya pergolakan politik tanah air.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan KL City berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan yang kini di tangga keenam liga selain daripada mara ke pentas separuh akhir Piala FA 2023.

Ianya bersesuaian dengan taraf pasukan yang memiliki bajet berstatus sederhana dengan anggaran sekitar RM16 juta hingga RM18 juta pada musim ini.

Tambah Khalid, angka tersebut juga meningkat lebih sedikit berbanding musim lalu rentetan penambahan pasukan di bawah KL City seperti KL City Extension, KL City Bawah 20 Tahun (B-20), KL City Bawah 18 Tahun (B-18), KL Rovers dan terbaharu, skuad wanita KL City.

Dalam pada itu, Khalid juga menafikan dakwaan berlaku tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan membelenggu KL City dan mendakwa ini hanyalah serangan siber untuk memburukkan pasukan.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen