Bank Islam Sumbang RM2 Setiap Fi Pengeluaran, Tahunan & Penggantian Kad Debit-i Kepada FAM
June 7, 2023 Hafizuddin Omar

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak tahun 2013 tampil memperbaharui kerjasamanya dengan badan induk tersebut pada hari ini bagi menyokong skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Kerjasama antara kedua-dua entiti ini terjalin sekitar sepuluh tahun lalu melalui pelancaran kad debit-i jenama bersama iaitu Team Harimau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, kini, pemegang kad debit-i Team Harimau telah mencecah lebih 2.1 juta. Manakala, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak lebih 200,000 kad ini telah dikeluarkan kepada para pelanggannya.

Menerusi kerjasama ini, Bank Islam telah serta terus menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan sukan bola sepak negara dengan menyumbangkan RM2 setiap fi pengeluaran, tahunan dan penggantian Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau kepada FAM.

Tambah Muazzam lagi, Kad Debit-i Team Harimau tersebut turut mendapat pengiktirafan di peringkat dalam dan luar negara seperti The Highly Commended award for Best Debit Card Offering (Unidebit) for the Cards & Electronic Payments International (CEPI) Asia Summit Wards 2015 dan The Largest Debit Co-Brand Partnership in 2019.

Susulan rekod yang memberangsangkan, Bank Islam dan FAM mengumumkan meneruskan kerjasama strategik ini demi manfaat pihak terlibat bagi tempoh dua tahun melibatkan dua dokumen berasingan ditandatangani oleh wakil kedua-dua pihak dalam majlis yang berlangsung di EQ Hotel, Kuala Lumpur pada hari ini. 

Salah satunya melibatkan lanjutan kerjasama melibatkan pembaharuan kad debit tersebut manakala satu dokumen lagi berkenaan aktiviti promosi Bank Islam bersama FAM.

Selain itu, Muazzam dalam ucapannya turut mendedahkan Bank Islam telah menjadi penaja kepada FAM dengan jumlah keseluruhan setakat ini berjumlah RM6 juta sejak tahun 2015.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen