Nazrulerwan Harap Pihak Pengurusan Tukar Pemain Import, Tidak Membantu
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali sementara Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor berang dengan aksi pemain import pasukannya yang dilihat tidak membantu ketika mereka dibelasah Selangor 7-1, malam tadi. 

Tegas Nazrulerwan, komitmen yang ditunjukkan pemain import mereka menjadi punca kekalahan besar mereka malam ini dan dia menggesa pihak pengurusan perlu bertindak segera menggantikan para pemain tersebut.

“Jujur saya cakap, pemain asing saya tidak membantu. Saya harap management (pihak pengurusan) dapat tukar secepat mungkin pemain asing saya kerana saya lihat mereka tidak berfungsi.”

“Saya ulang sekali lagi, pemain-pemain import saya tidak memberi komitmen yang terbaik. Ya, saya mengharapkan pengurusan dapat secepat mungkin mencari pemain pengganti pemain-pemain asing.” tegas Nazrulerwan dalam sidang media selepas perlawanan menentang Selangor. 

Pengendali berusia 43 tahun itu turut berkata, mereka memerlukan pemain baharu terutamanya di bahagian tengah dan serangan bagi membantu mereka menjadi pasukan yang lebih baik. 

Bagaimanapun, Nazrulerwan tetap memberikan kredit kepada Jose Porteria yang menampilkan aksi cemerlang bersama skuad berjulukan Kijang Hijau tetapi kecewa dengan aksi longlai pemain asing lain.

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan United selaku tuan rumah di Stadium Sultan Mohammad IV dibelasah Selangor dengan skor 7-1 hasil jaringan Mukhairi Ajmal, Faisal Halim, Yohandry Orozco, Aliff Izwan dan jaringan hatrik Ayron del Valle. 

Jaringan tunggal saguhati Kelantan United hadir menerusi sepakan penalti Devid Santana yang menyaksikan Kijang Hijau kini di tangga kedua terbawah Liga Super dengan enam mata. 

Featured Image: Kelantan United FC

Komen