Kasma Daniel Kembali Ke Kancah Moto2, Ganti Kohta Nozane Di Itali dan Jerman
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin sah kembali buat sementara waktu di litar Moto2 bagi menggantikan pelumba Correos Prepago Yamaha VR46, Kohta Nozane di Mugello, Itali dan Sachsenring, Jerman. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan pasukan Moto2 itu dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial milik mereka. 

Untuk makluman, Kohta Nozane kini masih dalam proses pemulihan rentetan kecederaan di bahagian belakang badannya yang dialaminya sejak perlumbaan pertama Moto2 di Portugal lagi. 

View this post on Instagram

A post shared by Yamaha VR46 Master Camp Team (@themastercamp)

Pengumuman itu sekaligus bermakna pelumba berusia 23 tahun itu bakal terlepas aksi pusingan keempat Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini.

Ketika ini, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju itu sedang mendahului saingan Cub Prix bagi kategori CP150 dengan 51 mata selepas tiga pusingan hasil kejuaraan pertamanya musim ini pada pusingan kedua di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan. 

Ini merupakan kemunculan semula Kasma Daniel di Moto2 buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun sejak kali terakhir beraksi dalam satu musim penuh bersama ONEXOX TKKR SAG Team pada 2020.  

Featured Image: Malaysian Cub Prix

Komen