Emerson Muncul Pemain Pertama Julang Trofi UCL, UEL, UECL & Super Cup
June 8, 2023 Hafizuddin Omar

Bek kiri skuad kebangsaan Itali kelahiran Brazil, Emerson Palmieri mencipta nama sebagai pemain bola sepak pertama yang menjulang keempat-empat kejohanan antarabangsa anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) iaitu Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa (UEL), Liga Konferens Europa (UECL) dan Super Cup.

Gelaran itu lengkap setelah kelab yang diwakilinya pada ketika ini, West Ham United berhasil melakar kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina dalam perlawanan akhir Liga Konferens Europa yang berlangsung di Fortuna Arena, Republik Czech pada awal pagi tadi waktu Malaysia. 

Dalam perlawanan tersebut, skuad berjulukan The Hammers menang hasil jaringan Said Benrahma (P) dan Jarrod Bowen pada minit ke-62 dan ke-90 masing-masing. Sementara itu, jaringan tunggal Fiorentina pula hadir pada minit ke-67 menerusi Giacomo Bonaventura.

Untuk pengetahuan semua, Emerson yang beraksi selama 90 minit dalam perlawanan tersebut pernah menjulang tiga lagi trofi kejohanan anjuran UEFA ketika bersama Chelsea dari tahun 2018 hingga 2022.

Trofi UEL dirangkulnya pada musim 2018-19 manakala trofi UCL dan Super Cup pula dijulangnya pada musim 2020-21 dan tahun 2021 masing-masing.

Sebagai tambahan, selain merangkul keempat-empat trofi kejohanan UEFA bagi peringkat kelab, Emerson turut menjuarai dan menjulang trofi saingan EURO 2020 bersama skuad kebangsaan Itali.

Featured Image: West Ham United

Komen