Terbuka Singapura: Juara Thailand Tundukkan Wei Chong-Kai Wun
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun akur tewas kepada kualiti yang dipamerkan wakil China, Liang Wei Keng dan Wang Chang dalam Pusingan 16 Terbuka Singapura, sebentar tadi. 

Untuk makluman, kedua-dua beregu berada pada prestasi terbaik dengan Wei Chong dan Kai Wun hadir selepas muncul naib juara Malaysia Masters manakala Wei Keng dan Wang Chang pula baru sahaja memenangi Terbuka Thailand. 

Bertemu buat kali pertama, pasangan lelaki kebangsaan itu tewas pada set pertama tetapi mereka cuba bangkit dengan kemenangan pada set kedua perlawanan dengan skor 18-21 dan 21-18 masing-masing.

Bagaimanapun, kualiti yang dipamerkan beregu No.3 dunia pada set ketiga menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tewas dengan skor 13-21 sekaligus menamatkan perlawanan yang berlangsung selama 42 minit di Stadium Tertutup Singapura. 

Sebelum ini, beregu No.3 negara itu mendapat kelebihan menang tanpa bertanding (retired) pada pusingan 16 selepas lawan mereka dari Jerman, Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel menarik diri daripada kejohanan.

Ini merupakan perlawanan pertama Wei Chong dan Kai Wun selepas berhempas pulas dalam meraih naib johan di Malaysia Masters apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Kang Min-hyuk.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen