Terbuka Singapura: Aaron-Wooi Yik Atasi Juara All England Ke Suku Akhir
June 8, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhasil menempah tiket kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Singapura selepas menundukkan cabaran juara All England 2022, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.

Pasangan yang menghuni ranking ke-13 dunia dari Indonesia terbabit tumpas di tangan Aaron-Wooi Yik pada peringkat Pusingan 16 yang tamat sebentar tadi bertempat di Stadium Tertutup Singapura.

Dalam pertarungan tersebut, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan bergaya secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-17 dalam tempoh masa sekitar setengah jam permainan sahaja.

Menariknya, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua beregu di pentas antarabangsa.

Sementara itu, dengan kemenangan dikecapi pada hari ini, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara Kejohanan Dunia BWF 2022 akan berhadapan cabaran samada daripada gandingan Korea, Kim Gi-jun dan Kim Sa-rang atau sepasang lagi beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin di peringkat suku akhir, esok.

Sebagai tambahan, ini merupakan kemaraan ke peringkat suku akhir kedua berturut-turut dilakar Aaron-Wooi Yik setelah melangkah ke peringkat yang sama dalam saingan Malaysia Masters, dua minggu lalu.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen