Terbuka Singapura: Juara Remaja Dunia 3 Kali Berturut-Turut Singkir Tze Yong
June 8, 2023 Hafizuddin Omar

Langkah perseorangan badminton lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong dalam saingan Terbuka Singapura 2023 nampaknya terhenti setakat peringkat Pusingan 16. Ianya gara-gara berentap dengan juara Remaja Dunia sebanyak tiga kali berturut-turut, Kunlavut Vitidsarn.

Tze Yong yang turun berhadapan dengan pemain dari Thailand berusia 22 tahun terbabit di Stadium Tertutup Singapura sebentar tadi terpaksa akur tumpas selepas mengharungi tiga set permainan yang memakan masa lebih satu jam di atas gelanggang.

Pertarungan bermula dengan Tze Yong tumpas pada set pertama dengan skor 18-21. Kemudiaannya, pemain negara yang berusia 23 tahun ini berhasil bangkit pada set kedua dengan skor 24-22 sekaligus melanjutkannya ke set penentuan.

Bagaimanapun, Kunlavut yang masih segar dengan kejayaan menjuarai saingan Terbuka Thailand pada minggu lalu menampilkan persembahan yang lebih agresif sekaligus berhasil menutup pertarungan tersebut dengan skor 21-13.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Tze Yong terpaksa akur tumpas kepada Kunlavut ketika berentap di pentas antarabangsa. Pertemuan julung kalinya yang berlangsung sekitar lima tahun lalu dalam saingan remaja di Indonesia turut memihak kepada Kunlavut dengan kemenangan secara “straight set” 21-13 dan 21-12.

Pada masa yang sama, kemenangan Kunlavut pada hari ini membolehkannya mara ke peringkat suku akhir. Menantinya di peringkat tersebut esok adalah samada pemain Perancis, Christo Popov atau perseorangan lelaki tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Loh Kean Yew.

Featured Image: Thailand Open 2023

Komen