Fakrul Afizul Lebur Rekod Kebangsaan 400m Berpagar – 51.26s
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Atlet remaja, Fakrul Afizul Nasir melakar sejarah selaku pemegang rekod kebangsaan baharu bagi acara 400 meter (m) berpagar di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Bawah 20 Tahun (B-20) di Yecheon, Republik Korea. 

Menurut laman sesawang kejohanan, Fakrul yang kini berusia 19 tahun menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 51.26 saat (s) sekaligus memadam rekod kebangsaan dalam acara berkenaan yang dicipta 18 tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan melakar rekod baharu, atlet kelahiran Kelantan itu terpaksa akur pulang tanpa sebarang kilauan pingat ekoran menamatkan larian di tempat keempat di belakang pelari Chinese Taipei, Chung Wei Lin yang meraih gangsa dengan catatan masa 50.61s. 

Wakil Qatar, Ismail Doudai O Abakar muncul juara selepas merekodkan catatan masa 49.30s – rekod kejohanan – dan diikuti pelari Jepun, Konno Ryoma yang menamatkan perlumbaan dengan rekod 49.91s.

Sebagai tambahan, sebelum ini, rekod kebangsaan bagi acara ini dipegang oleh Shahadan Jamaludin. Rekod terbabit dipegangnya selepas mencatatkan masa larian 51.28s pada temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Pada masa yang sama, larian itu juga membolehkannya merangkul pingat emas buat dirinya serta Kontinjen Malaysia. 

Featured Image: Amirul Naim (Instagram)

Komen