Terbuka Singapura: Beregu Campuran No.1 Negara Dikejutkan Pasangan Hong Kong
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan campuran No.1 negara, Goh Soon Huat and Shevon Jemie Lai dikejutkan wakil Hong Kong, Reginald Lee Chun Hei dan Ng Tsz Yau selepas tewas dalam aksi Pusingan 16 Terbuka Singapura, sebentar tadi. 

Sebelum ini, kedua-dua beregu pernah bertemu buat julung kalinya di Terbuka Thailand minggu lalu. Namun, pertarungan pada ketika itu menyaksikan Soon Huat-Jemie Lai melakar kemenangan ke atas gandingan di tangga ke-24 dunia itu menerusi skor 19-21, 21-15 dan 21-15. 

Bagaimanapun, perlawanan hari ini memperlihatkan beregu negara terlebih dahulu mendahului pada set pertama dengan skor 21-14. Akan tetapi pasangan Hong Kong tersebut berhasil bangkit pada set kedua dengan skor 21-16 sekaligus menyamakan semula kedudukan dan mengheret permainan ke set penentuan. 

Chun Hei-Tsz Yau memastikan kemenangan milik mereka pada set ketiga dengan skor 21-9 memihak kepada wakil asia timur itu dalam perlawanan yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Tertutup Singapura. 

Untuk rekod, kali terakhir gandingan No.1 negara itu mara ke peringkat suku akhir adalah pada Januari lalu di Indonesia Masters yang menyaksikan mereka tewas ‘straight set’ kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Sebagai tambahan, Chun Hei-Tsz Yau akan bertemu pemenang di antara pertembungan melibatkan satu lagi gandingan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen