Terbuka Singapura: Yew Sin-Ee Yi Singkir Juara Asia 2022
June 8, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berjaya mengulangi konsistensi dengan mara ke peringkat suku akhir secara berturut-turut dalam dua kejohanan yang disertai.

Pasangan negara yang menghuni ranking ketujuh dunia melakar kemaraan terbaru ke peringkat terbabit dalam saingan Terbuka Singapura 2023 dengan menumpaskan juara Kejohanan Badminton Asia 2022 dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dalam aksi Pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Yew Sin-Ee Yi turut melakar kemenangan bergaya secara “straight set” dengan skor 21-17 dan 21-18 dalam tempoh masa sekitar setengah jam permainan bertempat di Stadium Tertutup Singapura.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua Yew Sin-Ee Yi daripada tiga pertemuan menentang Pramudya-Yeremia yang kini menghuni ranking ke-26 dunia di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi yang mara ke suku akhir akan bertemu samada gandingan pemain senior yang terkenal dengan julukan “The Daddies” iaitu Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan atau beregu Korea yang menghuni ranking kesembilan dunia, Choi Sol-gyu dan Kim Won-ho.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen