Sepupu Pemain Perak Sah Sertai Liverpool Untuk Musim 2023-24
June 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemenang Piala Dunia 2022, Alexis Mac Allister yang juga sepupu kepada pemain tengah Perak, Luciano Guaycochea sah sertai juara Liga Perdana Inggeris 2019-20, Liverpool FC. 

Pengumuman itu hadir menerusi kenyataan media yang diterbitkan melalui laman sesawang bekas pasukan dan kelab baharunya serta dikongsikan pelbagai media sosial mereka, petang tadi. 

Mac Allister berhijrah ke skuad berjulukan The Reds daripada Brighton and Hove Albion sekaligus menjadi pemain pertama yang direkrut pasukan tersebut pada jendela perpindahan musim baharu ini.

Pemain kelahiran La Pampa itu dikhabarkan menandatangani kontrak jangka masa panjang dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan kepada umum bermula musim hadapan. 

Untuk makluman, Mac Allister akan menyarung jersi bernombor 10 bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Sadio Mane, Philippe Coutinho, Steve Mcmanaman dan Greame Souness.

Musim lalu, pemain berusia 25 tahun itu telah menjaringkan 10 gol dan mencatatkan dua bantuan gol (assists) buat skuad berjulukan The Seagulls selain membantu Argentina menjulang Piala Dunia 2022. 

Featured Image: Liverpool FC

Komen