Michael Weiss Kembali Kemudi Skuad Kebangsaan Filipina
June 9, 2023 Hafizuddin Omar

Selepas hampir sedekad berpisah dengan skuad kebangsaan Filipina, jurulatih kelahiran Jerman, Hans Michael Weiss kembali mengemudi skuad berjulukan The Azkals terbabit bermula saat ini.

Perkembangan mengenai penyertaan semula jurulatih berusia 58 tahun itu hadir menerusi badan induk bola sepak negara berkenaan, Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) menerusi satu kenyataan rasmi pada minggu ini.

Dalam kenyataan yang sama, Weiss turut mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada jendela FIFA bagi bulan Jun.

Senarai tersebut turut merangkumi beberapa pemain Filipina yang beraksi dalam kancah Liga Super seperti Julian Schwarzer (Kuching City), Manny Ott (Kedah Darul Aman), Kevin Ingreso (Sri Pahang), Patrick Reichelt (KL City) dan OJ Porteria (Kelantan United).

Untuk makluman, Filipina yang kini menghuni ranking ke-136 dunia dijadualkan bertemu Nepal (ke-174) dan Chinese Taipei (ke-156) pada 15 dan 19 Jun masing-masing bertempat di Stadium Memorial Rizal.

Sebagai rekod, ketika mengemudi Filipina buat pertama kalinya bermula 2011 hingga 2014, Weiss membawa mereka menamatkan saingan Piala Cabaran AFC 2012 di tempat ketiga selain mara ke separuh akhir Piala AFF pada tahun yang sama.

Sepanjang tempoh terbabit, Weiss sempat mengendalikan 44 perlawanan secara keseluruhan dan skuad The Azkals bimbingannya berhasil mencetak 21 kemenangan, 11 seri serta 12 kekalahan.

Sebelum menyertai semula skuad kebangsaan Filipina, Weiss menabur bakti bersama skuad kebangsaan Laos (2022-2023), Mongolia (2017-2020) serta sebuah kelab berpangkalan di Romania iaitu Otelul Galati (2014).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen