Skuad hoki remaja wanita kebangsaan gagal menempah slot ke Piala Dunia Remaja Wanita apabila tewas kepada Republik Korea dalam aksi terakhir Pool A bagi saingan Piala Remaja Wanita Asia, semalam.
Skuad kendalian Farah Yahya itu tewas dengan keputusan 3-1 kepada juara empat kali kejohanan dan berakhir di kedudukan ketiga kumpulan sekaligus menutup rapat peluang Malaysia ke pentas Piala Dunia.
Terdahulu, Malaysia memerlukan kemenangan ke atas Republik Korea untuk layak ke peringkat separuh akhir selepas menang menentang Chinese Taipei dan Uzbekistan tetapi tewas kepada India pada perlawanan kedua.
Korea Selatan pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke peringkat seterusnya dalam misi untuk merebut tiga slot Piala Dunia Remaja yang ditawarkan kepada johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga.
Kekalahan tersebut bermakna Malaysia tidak berjaya mengulangi pencapaian mara ke pentas tertinggi dan akan beraksi dalam saingan penentuan tempat kelima hingga kelapan kejohanan bertemu Hong Kong.
Pada edisi yang lalu, Malaysia mara ke Piala Dunia Remaja Wanita tetapi hanya memperoleh satu keputusan seri menentang Wales manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan.
Bagaimanapun, Malaysia menang ke atas wakil benua afrika, Zimbabwe dengan keputusan 7-2 dalam aksi penentuan yang menyaksikan skuad negara berakhir di tempat ke-11 daripada 16 pasukan yang bertanding.
Featured Image: Asian Hockey Federation
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!