Artikel

Terbuka Singapura: Aaron-Wooi Yik Mara Ke Separuh Akhir Super 750 Buat Kali Ketujuh

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 buat kali ketujuh selepas menewaskan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin di peringkat suku akhir Terbuka Singapura 2023. 

Dalam pertarungan tersebut, Carnando-Marthin terlebih dahulu di hadapan setelah memenangi set pertama dengan skor 18-21. Beregu No.1 negara mula bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi kemenangan pada set kedua dengan keputusan 21-16. 

Set ketiga pula menyaksikan Aaron-Wooi Yik bertarung sengit dengan pasangan No.10 dunia itu dalam perlawanan yang berlangsung selama 78 minit. Permainan berakhir dengan keputusan 22-20 memihak kepada beregu kebangsaan. 

Kemenangan itu sekaligus melunaskan ‘dendam’ di Malaysia Masters 2023 apabila mereka tewas kepada beregu yang sama juga di peringkat suku akhir secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-18 dan 21-19, dua minggu lalu.

Untuk rekod, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik konsisten untuk mara ke separuh akhir Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 sekurang-kurangnya dua kali sejak 2021.

Ibarat buku bertemu ruas, beregu No.4 dunia tersebut bakal menentang pasangan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang yang kini berada di tangga ketiga dunia di peringkat separuh akhir. 

Sebelum ini, gandingan Wei Keng-Chang telah bertemu satu lagi wakil negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun di pusingan 16 sebelum mara dan menumbangkan pasangan England, Ben Lane dan Sean Vendy, sebentar tadi. 

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

komen