Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) kini beralih menggunakan khidmat jurulatih Itali, Arena Gugliermo bagi skuad senior serta bawah 23 tahun (B-23) kebangsaannya setelah menggunakan Hans Michael Weiss dari Jerman selama 16 bulan.
Badan induk bola sepak bagi negara berkenaan mengesahkan kehadiran jurulatih berusia separuh abad itu menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan menerusi platform media sosialnya, pada minggu ini.
Selain memiliki lesen UEFA Pro, jurulatih kelahiran Montreux, Switzerland ini mempunyai pengalaman di pelbagai negara selain negara kelahirannya sendiri seperti Maghribi, UAE, China, Oman, Algeria, Singapura, Benin dan Burkina Faso.
— ASEAN Football (@AFFPresse) June 8, 2023
Menariknya, Gugliermo pernah menjadi penolong pengurus kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam pada ketika ini, Philippe Troussier ketika mengendalikan kelab yang beraksi dalam kancah Liga Super China (CSL) iaitu HZ Greentown yang kini dikenali sebagai Zhejiang FC.
Untuk makluman semua, tugasan terdekat Gigliermo adalah mengendalikan skuad Laos B-23 dalam saingan Kejuaraan B-23 AFF yang akan berlangsung pada 17-26 Ogos kelak. Selepas itu, beliau akan membawa skuad yang sama untuk menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 pada 6-12 September.
Sebagai tambahan, kerusi ketua jurulatih bagi skuad senior dan B-23 Laos kosong selepas LFF dan Weiss mengumumkan perpisahan pada penghujung Mei lalu.
Featured Image: LFF