APG 2023: Malaysia Lepasi Sasaran, Bawa Pulang 50 Emas
June 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kontinjen Malaysia menampilkan prestasi cemerlang dalam temasya Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja selepas membawa pulang 50 emas ke tanah air dan melepasi sasaran 33 emas yang ditetapkan. 

Lebih menarik, pencapaian itu dilakar tanpa kehadiran jaguh dunia seperti Mohd Ridzuan Puzi, Datuk Abdul Latif Romly (olahraga) dan Cheah Liek Hou (badminton) sekaligus memberikan satu petanda positif buat sukan para negara.

Dalam temasya yang telah berlangsung selama tujuh hari, 50 emas yang dipungut kontinjen kebangsaan itu meletakkan negara di tangga keempat dalam carta kutipan pingat keseluruhan.

Juara temasya edisi kali ini ialah Indonesia yang berjaya membolot 159 emas, diikuti tempat kedua menjadi milik Thailand yang turut melepasi angka 100 iaitu sebanyak 126 emas berjaya dipungut dan tempat ketiga menjadi milik Vietnam dengan 66 emas.

Seramai 144 wakil negara t elah bertanding dalam 13 sukan yang terbahagi kepada 153 acara. Malaysia berjaya menggondol 50 emas, 38 perak dan 35 gangsa dengan jumlah keseluruhan 123 pingat diraih pada edisi kali ini. 

Acara renang dan olahraga terus menjadi ‘lubuk’ emas buat kontinjen negara selepas atlet kedua-dua sukan tersebut menyumbang 26 dan 14 pingat emas masing-masing buat Malaysia. 

Pada edisi lalu, Malaysia berjaya mengutip 36 emas daripada 73 wakil negara yang dihantar ke Solo; jumlah terkecil pernah dicatatkan kontinjen Malaysia sejak 2001. 

Featured Image: Paralympic Council Malaysia

Komen