Penyerang sayap Mali-Sepanyol, Moussa Sidibe yang diikat oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Januari 2022 kini menyertai kelab yang beraksi dalam kancah Liga 1 Indonesia iaitu Persis Solo.
Pasukan berjulukan Laskar Sambernyawa mengesahkan mengikat khidmat pemain berusia 28 tahun tersebut dengan memberikan kontrak selama dua tahun yang menyaksikannya kekal sehingga Mei 2025.
Penghijrahan Sidibe menyaksikannya bakal bertemu dan beraksi semula dengan seorang lagi bekas penyerang JDT iaitu Fernando Rodriguez – menyertai Persis Solo pada Ogos 2022.
Sebelum ini, Sidibe bersama-sama penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid menyertai kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC secara pinjaman daripada JDT bermula Januari lalu.
Laskar Sambernyawa have completed the signing of Moussa Sidibe. ✅✍️#MoussaIsARed #LaskarSambernyawa pic.twitter.com/FdnGGW7vGZ
— PERSIS (@persisofficial) June 8, 2023
Ketika beraksi bersama kelab berkenaan, Sidibe sempat tampil sebanyak 11 kali dan menyumbangkan satu “assist” yang membantu skuad berjulukan The Dragons mara ke separuh akhir Thai League Cup dan menamatkan saingan Liga Thai 1 di tangga kelapan.
Untuk makluman, bermula musim 2023-24, saingan bola sepak Indonesia akan menggunakan kuota pemain import 5+1 (lima pemain warganegara bebas + 1 pemain dari benua asia) sesuai dengan saranan badan induk, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Difahamkan, Sidibe menjadi pemain import pertama yang ditandatangani Persis Solo pada jendela perpindahan kali ini. Bagaimanapun, mereka tidak mengesahkan samada Sidibe akan mengisi kuota pemain import bebas atau asia.
Disamping itu, selain Rodriguez, Persis Solo masih mengekalkan khidmat dua pemain importnya sebelum ini iaitu Alexis Messidoro dan Jaimerson Xavier.
Sebagai tambahan, saingan baharu Liga 1 musim 2023-24 akan bermula 1 Julai kelak.
Featured Image: Persis Solo