Artikel

Piala Remaja Wanita Asia: Young Tigress Akhiri Saingan Di Tempat Kelima

Skuad hoki wanita kebangsaan menamatkan saingan Piala Remaja Wanita Asia 2023 di tempat kelima kejohanan selepas menewaskan Hong Kong dan Kazakhstan di pusingan penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Dalam peringkat separuh akhir pusingan tersebut, Hong Kong dibelasah Malaysia dengan keputusan 10-1 hasil jaringan lapan pemain kebangsaan termasuk hatrik Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha.

Skuad berjulukan Young Tigress itu kemudiannya meneruskan aksi cemerlang dalam penentuan tempat kelima dan keenam apabila membenam Kazakhstan dengan keputusan tujuh gol tanpa balas.

Tujuh gol Malaysia dijaringkan Siti Nur Irdina Mohd Nor dan jaringan berganda daripada Shamine Azureen, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Azmyra Mia Sofea Azhairy memastikan tempat kelima jadi milik Young Tigress.

Sebelum ini, Malaysia terlepas slot Piala Dunia Wanita selepas mereka tewas kepada Republik Korea yang menyaksikan mereka sekadar menduduki tangga ketiga Pool A dengan enam mata hasil dua kemenangan ke atas Chinese Taipei dan Uzbekistan. 

Keputusan tersebut sekaligus menyebabkan skuad bimbingan Farah Yahya tidak dapat mengulangi kejayaan mara ke Piala Dunia Wanita 2021 dan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kelima Piala Remaja Wanita Asia.

Featured Image: Asian Hockey Federation

komen