Selepas hampir dua bulan tanpa sebarang kelab selepas dilepaskan oleh Kelantan FC, pertahanan kacukan Sepanyol-Filipina, Carli de Murga meneruskan karier bola sepaknya bersama Barito Putera – kelab yang beraksi dalam kancah Liga 1 Indonesia.
Skuad berjulukan Laskar Antasari mengumumkan penyertaan pemain berusia 34 tahun terbabit secara rasmi menerusi video dan beberapa muat naik di platform laman sosialnya, sekitar tengah malam tadi.
Difahamkan, Carli menjadi pemain import kelima buat Barito Putera yang menamatkan saingan Liga 1 musim lalu di tangga ke-15.
Selain itu, Carli yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC dari tahun 2021 hingga 2022 menjadi pemain Filipina kedua dimiliki Barito Putera selepas Mike Ott – adik kepada Manny Ott yang bermain bersama Kedah Darul Aman FC pada ketika ini.
Carli yang menyertai skuad The Red Warriors (TRW) sebelum bermulanya saingan Liga Super 2023 sempat membuat enam penampilan sebelum mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak bersama Kelantan yang dimiliki oleh ahli perniagaan, Norizam Tukiman.
Featured Image: Barito Putera & Kelantan FC