Pemain JDT, Kedah Tersenarai Dalam Skuad Piala Asia B-17 
June 12, 2023 Meor Mohamad Amirul

Skuad bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan telah menyenaraikan 24 pemain yang majoritinya daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) disamping dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seorang pemain Kedah Darul Aman FC (Kedah) bagi menghadapi saingan Piala Asia B-17. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial badan induk bola sepak negara itu. 

Tiga pemain bukan daripada AMD tersebut ialah Adib Ibrahim Adnan dan Muhammad Nor Ezawi Nor Azman Abdullah dari JDT manakala Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi pula dari Kedah Darul Aman. 

Untuk makluman, daripada senarai tersebut, seramai empat pemain telah digugurkan iaitu Aqim Hazmi, Danish Iskandar, Adam Mikaeel dan Ammar Shauqi sementara Hairil Syazwan dan Irfan Aswad menjadi nama baharu yang disenaraikan untuk mewakili Malaysia B-17.

 

Untuk pengetahuan semua, Hairil Syazwan pernah disenaraikan dalam senarai 40 pemain kem latihan pusat fasa pertama manakala Irfan Aswad merupakan muka baharu dalam senarai yang diumumkan Osmera Omaru pada kali ini. 

Pada kem latihan pusat fasa akhir yang lepas, Malaysia telah beraksi menentang Uzbekistan dan Arab Saudi yang menyaksikan skuad remaja negara tewas kepada kedua-dua lawan tersebut dengan keputusan 2-3 dan 1-4 masing-masing.

Bagi saingan Piala Asia B-17 kelak, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen bertemu Yemen pada Khamis, 15 Jun dan diikuti aksi berdepan tuan rumah, Thailand pada Ahad, 18 Jun sebelum menutup aksi terakhir Kumpulan A menentang  Laos pada Rabu, 21 Jun.

Empat pasukan terbaik yang mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-17 akan layak ke Piala Dunia B-17 yang dijadualkan berlangsung November depan.

Featured Image: Football Association of Malaysia 

Komen