Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia meneruskan rentak cemerlang di tanah airnya sendiri selepas berjaya mempertahankan kejuaraan yang diraih di Grand Prix (GP) Itali tahun lalu, semalam.
Dalam perlumbaan tersebut, juara bertahan MotoGP itu bermula di petak pertama (pole position) selepas menamatkan sesi kelayakan pada Jumaat dengan catatan masa pusingan terpantas iaitu 1 minit 45.43 saat.
Selepas 23 pusingan perlumbaan, Bagnaia ditabalkan selaku pemenang GP Itali setelah menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 41 minit 16.86 saat sekaligus mempertahankan kejuaraannya di Mugello musim lalu.
2022 to 2023! ✅@PeccoBagnaia retains his crown as the King of Mugello! 👑#ItalianGP 🇮🇹 pic.twitter.com/tKlzVZvoz8
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) June 11, 2023
Kemenangan itu juga memastikan pelumba Itali itu meraih 37 mata bagi kejuaraan kali ini termasuk 12 mata tambahan yang turut diperoleh selepas unggul selaku pemenang acara pecut.
Kejuaraan di Itali merupakan kejuaraan ketiga yang dimenangi Bagnaia musim ini selepas memenangi GP Portugal selaku perlumbaan pembukaan dan GP Sepanyol sebelum ini.
Bagnaia kini mendahului carta kejohanan dengan 131 mata dan terus bersaing sengit dengan rakan senegara yang merupakan pelumba Mooney VR46 Racing Team, Marco Bezzecchi yang ketinggalan 21 mata di tempat kedua dengan 110 mata.
Sebelum ini, hanya dua mata memisahkan Bagnaia dan Bezzecchi selepas pelumba berusia 26 tahun itu terkandas pada pusingan ke-23 manakala Bezzecchi pula menjuarai perlumbaan ke-1000 dalam sejarah MotoGP itu.
Featured Image: MotoGP