Badan penganjur saingan Liga Kejuaraan, Liga Satu dan Liga Dua iaitu Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) mengharamkan penggunaan tuala oleh mana-mana kelab bagi membolehkan pemain masing-masing mengelap bola sebelum membuat lontaran ke dalam (throw-in) semasa perlawanan.
Difahamkan, pengharaman itu bukan sahaja melibatkan tuala yang yang disediakan oleh kelab masing-masing bahkan penggunaan barangan lain seperti jaket atau mafla yang diberikan oleh penonton di tepi padang turut dilarang sama sekali.
Perkembangan itu hadir menerusi satu pengumuman rasmi oleh EFL dan ianya akan dikuatkuasakan bermula saingan baharu 2023-24 kelak.
EFL Statement: Regulation Changes – Summer 2023#EFLhttps://t.co/yziWdBVI29
— EFL Communications (@EFL_Comms) June 8, 2023
Untuk makluman semua, perbuatan mengelap bola dengan menggunakan barangan tersebut sebelum melakukan lontaran dilakukan bagi membolehkan pemain memegang bola dengan kemas serta mengelakkan bola terlucut ekoran licin. Pegangan yang kemas boleh membantu pemain melakukan lontaran dengan lebih baik dan jauh.
Selain itu, terdapat juga kalangan pemain yang menggunakan perbuatan ini sebagai taktik untuk melengahkan masa sebelum membuat lontaran.
Dalam perkembangan yang sama, EFL turut mengumumkan penggunaan “multiball system” dalam kesemua pertandingan atau kejohanan di bawah anjurannya. Melalui sistem ini, bola akan diletakkan di atas kon yang disediakan di tepi padang untuk memudahkan pemain mengambilnya apabila bola terkeluar sekaligus meningkatkan waktu permainan di atas padang.
Featured Image: Premier League