Ranieri Ulang Keajaiban Pacu Cagliari Raih Promosi Serie A
June 12, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas pengendali Leicester City, Claudio Ranieri sekali lagi melakukan keajaiban apabila berjaya membantu Cagliari Calcio memenangi perlawanan akhir pusingan play-off Serie B menewaskan SSC Bari sekaligus layak ke Serie A.

Leonardo Pavoletti menjadi duri dalam daging buat Bari selepas menjaringkan gol untuk Cagliari pada minit ke-94 perlawanan dalam aksi timbal balik dan mengesahkan tempat mereka dalam Serie A musim hadapan. 

Terdahulu, Cagliari menamatkan musim di tangga kelima Serie B bawah kendalian Ranieri selepas mencatatkan 10 perlawanan tanpa tewas dan hanya tewas dua kali selepas beliau mengambil alih sebagai pengendali.

Dalam pusingan play-off, Cagliari meneruskan aksi cemerlang menewaskan Venezia dan Parma sebelum terikat pada perlawanan akhir pertama dengan keputusan 1-1 menentang Bari. 

Sebelum ini, pengendali berusia 71 tahun itu mula dilantik bersama skuad berjulukan The Rossoblu berkuatkuasa 1 Januari 2023 dengan harapan dapat membantu kelab itu menemui semula prestasi terbaik mereka selepas berada di tangga ke-12 liga. 

Namun, ini bukanlah kali pertama Ranieri berada di kota itu selepas turut melatih kelab tersebut pada musim 1988 dan membantu kelab itu kembali ke Serie A daripada Serie C pada musim 1990. 

Untuk makluman, The Rossoblu bakal bersama Frosinone dan Genoa dalam saingan Serie A 2023-24 manakala tiga pasukan yang tersingkir ke Serie B ialah Verona, Cremonese dan Sampdoria. 

Musim lalu, Cagliari tersingkir ke Serie B apabila berada di tangga ke-18 liga selepas sekadar mengutip 30 mata, dibezakan satu mata dengan pasukan di kedudukan ke-17, Salernitana. 

Untuk makluman, nama Ranieri melambung dalam arena bola sepak dunia selepas mencipta keajaiban dengan membimbing calon penyingkiran, Leicester City memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat julung kalinya dalam sejarah kelab berkenaan pada musim 2015-16.  

Featured Image: Cagliari Calcio

Komen