Faith Kipyegon yang mengambil bahagian acara 5,000 meter (m) wanita dalam saingan Liga Berlian Paris baru-baru ini bukan sahaja muncul juara bahkan turut mencipta satu rekod dunia.
Dalam perlumbaan tersebut, pelari dari Kenya berusia 29 tahun terbabit menjadi pemegang rekod dunia baharu apabila melintasi garisan penamat dengan catatan masa 14 minit (m) dan 1.20 saat (s).
Catatan masa itu sekaligus menghanguskan rekod yang dicipta pelari Ethiopia, Letesenbet Gidey ketika berusia 22 tahun dengan catatan masa 14m dan 6.62s di Sepanyol pada tahun 2020.
WORLD RECORD
Exactly one week after breaking the 1500m world record, 🇰🇪's Faith Kipyegon runs the fastest 5000m in history with 14:05.20 😳
60 second final lap 🫡
📸 @DanVernonPhoto and Marta Gorczyńska for Diamond League AG
*Subject to the usual ratification procedures pic.twitter.com/f3Qh2bS5FL
— World Athletics (@WorldAthletics) June 9, 2023
Gidey yang turut sama menyertai acara berkenaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 14m dan 7.94s dan tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelari Ethiopia, Taye Ejgayehu dengan masa larian 14m 13.31s.
Menariknya, Faith yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali dalam acara 1,500m muncul juara dan menempa rekod dunia terbabit selepas mengambil bahagian dalam acara 5,000m buat kali pertama selepas lapan tahun.
Untuk makluman, sebelum mencipta rekod dunia ini, Faith yang juga merupakan seorang ibu telah menempa sebuah rekod dunia baharu dalam acara 1,500m dengan catatan masa 3m dan 49.11s di Liga Berlian Itali pada 2 Jun lalu.
Featured Image: Instagram Faith Kipyegon