Individu yang pernah memiliki kelab gergasi bola sepak Itali, AC Milan dari tahun 1986 hingga 2017 iaitu Silvio Berlusconi merangkap bekas Perdana Menteri Itali sebanyak tiga kali, Silvio Berlusconi telah meninggal dunia.
Selain berkecimpung dalam bola sepak dan politik, beliau yang juga merupakan ahli perniagaan dilaporkan pelbagai media antarabangsa yang memetik laporan dari negara berkenaan meninggal dunia pada hari ini ketika berusia 86 tahun.
Sepanjang memiliki AC Milan menerusi syarikat media, Fininvest, skuad berjulukan Rossoneri yang berpangkalan di Stadium San Siro merangkul Piala Itali (1 kali), Supercoppa (7 kali) Serie A (8 kali), juara Eropah (5 kali), UEFA Super Cup (5 kali) serta Piala Dunia Kelab (3 kali).
Selepas lebih tiga dekad, era pimpinan Berlusconi di AC Milan sampai ke penghujungnya apabila ianya dilepaskan dan dijual kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh ahli perniagaan China, Rossoneri Sport Investment Lux dengan harga €740 juta.
Bagaimanapun, Berlusconi kembali berkecimpung dalam bola sepak Itali apabila membeli sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Serie C pada ketika itu, AC Monza menerusi Fininvest 18 bulan berikutnya.
Kelab berpangkalan di Lombardy itu tidak mengambil masa yang lama untuk mengesahkan promosi ke divisyen kedua bola sepak Itali iaitu Serie B 2020-21 pada musim kedua pasca pengambilalihan Berlusconi.
Selepas dua musim beraksi dalam kancah Serie B, skuad berjulukan Biancorossi menempa sejarah mendapat promosi buat julung kalinya ke kancah Serie A 2022-23 sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1912.
Kempen sulung Monza dalam kancah Serie tidak kurang hebatnya apabila menutup saingan musim ini di tangga ke-11 hasil daripada 14 kemenangan dan 10 seri dengan mengumpul 52 mata.
Featured Image: AC Milan