Artikel

Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Hampiri ‘Top 15’ Dunia Selepas Enam Bulan

Gandingan campuran negara, Chen Tang Jie dan Ee Wei yang mara ke separuh akhir Terbuka Singapura 2023 kini menghampiri kedudukan 15 terbaik dunia selepas enam bulan bergandingan bersama. 

Kemaskini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan kedudukan Tang Jie-Ee Wei meningkat sebanyak empat anak tangga berbanding minggu lalu.

Ianya sekaligus meletakkan pasangan juara Orleans Master 2023 itu di kedudukan ke-17 dunia hasil memungut 51,738 mata.

Secara langsungnya, kedudukan itu meletakkan mereka menjadi beregu campuran No.2 negara selepas berjaya memintas satu lagi gandingan tanah air, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang jatuh ke tangga ke-18 dunia.

Selain itu, ini juga merupakan ranking terbaik buat Tang Jie-Ee Wei sepanjang mereka bersama selepas kali menyertai kelompok 20 terbaik dunia buat julung kalinya pada 22 Mei. 

Pada minggu lalu, pasangan yang mula digandingkan sejak Disember 2022 hampir-hampir mara ke pentas akhir buat kali ketiga tahun 2023 namun tewas kepada pasangan Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino di peringkat separuh akhir Terbuka Singapura.

Dalam pada itu, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai kekal di tangga kelapan dunia manakala Chan Peng Soon dan Cheah Yee See turun dua anak tangga sekaligus berada di kedudukan ke-33 dunia. 

Featured Image: Badminton Thailand | Thailand Open 2023

komen