Kabaddi, Silamban Antara 5 Sukan Dimasukkan Dalam SUKMA 2024
June 13, 2023 Hafizuddin Omar

Dua sukan tradisional iaitu kabaddi dan silamban bersama-sama sofbol, catur dan kriket mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) untuk dipertandingkan dalam temasya dwitahunan berkenaan di Sarawak pada tahun hadapan.

Perkembangan itu hadir selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bersetuju untuk memasukkan lima sukan berkenaan yang telah mempunyai Kejohanan Remaja Kebangsaan dalam SUKMA.

Pada masa yang sama, Sarawak selaku tuan rumah bersetuju untuk mempertandingkan sukan-sukan ini pada SUKMA 2024 dan 2026. Bagaimanapun, penganjuran sukan-sukan ini perlu mendapat penyertaan minimum daripada enam negeri untuk dipertandingkan. 

Secara keseluruhannya, SUKMA kali ke-21 ini akan mempertandingkan sebanyak 37 jenis sukan dimana 28 daripadanya merupakan sukan yang wajib dipertandingkan.

Dalam kenyataan yang sama, mesyuarat turut memaklumkan SUKMA 2024 akan dilangsungkan selama seminggu bermula dari 17 hingga 24 Ogos.

Sebagai tambahahan, ianya akan dilangsungkan di lapan bahagian Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri tersebut.

Namun begitu, acara basikal trek akan dilangsungkan di semenanjung tanah air.

Featured Image: Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Komen