Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementeriannya telah mengangkat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong selaku ikon perpaduan negara serta beberapa legenda perfileman dan pemimpin negara.
Jelas Aaron, tujuan para ikon perpaduan ini dilantik atau dipilih adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk memperkuatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sekarang ini, kita melihat perenang juga menjadi ikon, kita masukkan beliau ke dalam agensi bawah kita seperti Pandelela supaya beliau menjadi ikon di Kementerian Perpaduan Negara.” ujar Aaron semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat tempoh hari.
Kenyataan tersebut dimaklumkan selepas Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengajukan soalan berkenaan hasrat kementerian untuk menghasilkan filem pendek mengenai kisah legenda sukan negara bagi memupuk semangat perpaduan.
Aminolhuda juga memetik nama bekas legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan Santokh Singh sebagai contoh kepada ikon yang wajar diketengahkan dalam penghasilan filem pendek tersebut.
Untuk makluman, Datuk Pandelela Rinong bukan nama yang asing buat rakyat Malaysia. Pandelela merupakan penerjun negara yang pernah meraih pingat perak bersama Cheong Jun Hoong di Sukan Olimpik 2016 selain daripada menggondol pingat emas di Sukan Komanwel dan Sukan SEA.
Featured Image: Facebook Pandelala Rinong