AFC Lancar Aplikasi AFC LIVE – Papar Berita, Jadual, Skor Semasa & Banyak Lagi
June 14, 2023 Hafizuddin Omar

Sebelum ini, para peminat bola sepak asia yang ingin mendapatkan pelbagai informasi seperti jadual perlawanan, statistik serta berita semasa mengenai pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti Piala Asia, Liga Juara-Juara, Piala AFC dan sebagainya perlu ke laman sesawang rasminya – www.the-afc.com.

Kini perkara itu dipermudahkan lagi untuk para peminat apabila badan induk bola sepak bagi benua asia terbabit tampil melancarkan aplikasi telefon pintar rasmi pertamnya yang diberikan nama AFC LIVE semalam.

Aplikasi ini hadir dengan memaparkan pengumuman dan berita daripada AFC, jadual perlawanan bagi pelbagai pertandingan termasuk kejohanan bawah umur, skor semasa dan banyak lagi. 

Selain itu, aplikasi AFC LIVE turut menyediakan maklumat terperinci terhadap setiap perlawanan seperti ini kesebelasan utama, waktu sepak mula, kedudukan semasa, serta statistik perlawanan. 

Sebagai tambahan, para peminat turut boleh menetapkan notifikasi agar mendapat perkembangan terkini dengan pantas terhadap pasukan atau pertandingan yang diminati.

AFC memaklumkan, kesemua ciri-ciri ini dapat dinikmati oleh para pengguna aplikasi dengan antaramuka (interface) ringkas dan kemas ini bermula daripada saingan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) di Thailand yang berlangsung dari 15 Jun hingga 2 Julai kelak.

Untuk makluman semua, AFC LIVE sudah tersedia untuk dimuat turun oleh para peminat yang menggunakan telefon pintar iOS dan Android melalui App Store dan Google Play Store masing-masing.

Komen