Pertahanan Thailand, Elias Dolah disahkan menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Bali United sekaligus menjadikan dirinya pemain pertama dari negara gajah putih itu beraksi di republik tersebut selepas 13 tahun.
Pemain berketurunan Melayu itu akhirnya meninggalkan Thailand, negara yang diwakilinya sejak berhijrah dari negara kelahirannya, Sweden pada tahun 2015 untuk menyertai Songkhla United.
Berdarah Sweden, Thailand dan Malaysia, Elias telah diperkenalkan kepada para penyokong skuad berjulukan Serdadu Tridatu pada 6 Jun lalu di stadium keramat mereka, Stadium Kapten I Wayan Dipta dalam aksi play-off Liga 1 menentang PSM Makassar.
SWASTI PRAPTA‼️
ELIAAASSSS DOLAH#BaliUnited #BaliUnitedDay pic.twitter.com/P7SFZ7zOuX
— Bali United FC (@BaliUtd) June 6, 2023
Kini berusia 30 tahun, Elias pernah memenangi Piala FA Thailand bersama Port FC dan menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Thailand yang menjuarai Piala AFF 2020 selepas menewaskan Indonesia dengan keputusan 6-2 secara agregat.
Sebelum ini, Persib Bandung pernah meminjam dua pemain Thailand iaitu Sinthaweechai Hathairattanakool dan Suchao Nuchnum untuk beraksi dalam saingan Liga Super Indonesia pada musim 2009 & 2010.
Musim itu juga menyaksikan tiga lagi pemain Thailand turut beraksi di Liga Super Indonesia bersama pasukan yang lain iaitu Yuttajak Kornchan (Pelita Jaya), Paitoon Tiepma (Persijap Jepara) dan Pipat Thonkanya (Persisam Putra).
Featured Image: Bali United FC