Maurice Steijn Sah Dilantik Selaku Pengendali Ajax Ganti Heitinga
June 14, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas ketua jurulatih Sparta Rotterdam, Maurice Steijn diumumkan sebagai pengendali baharu Ajax selama tiga tahun bermula 1 Julai 2023 dan berakhir pada 30 Jun 2026 bagi menggantikan John Heitinga. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sesawang kelab terkemuka Belanda itu dan dikongsi melalui pelbagai media sosial mereka. 

Pengarah bola sepak Ajax, Sven Mislintat menegaskan pemilihan Maurice Steijn selaku pengendali baharu kelab itu berpandukan kepada kemampuan jurulatih tersebut untuk mendapatkan keputusan melangkaui jangkaan. 

Musim ini, Steijn yang kini berusia 49 tahun telah membawa Sparta Rotterdam ke kedudukan keenam liga yang merupakan kedudukan terbaik mereka dalam tempoh lebih 20 tahun.

Hal ini sekaligus menjadikan Steijn sebagai salah seorang pengendali terbaik dalam sejarah kelab tersebut selepas memacu kelab tertua di Belanda itu berada dalam kelompok lapan terbaik Eredivisie. 

Sebelum ini, pihak pengurusan Ajax telah membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak Heitinga biarpun kehadirannya membantu kelab tersebut kembali pada landasan yang tepat. 

Walaupun begitu, bekas juara bertahan Eredivisie di bawah kendalian Heitinga hanya mengakhiri saingan liga di tempat ketiga bermakna mereka terlepas kejuaraan liga ke tangan Feyenoord selain gagal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA 2023-24. 

Prestasi terumbang-ambing Ajax itu dipercayai tercetus selepas bekas pengendali mereka, Erik Ten Hag meninggalkan pasukan dan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris untuk membimbing Manchester United awal musim lalu.  

Featured Image: Ajax Amsterdam

Komen