Penyerang sensasi negara, Safawi Rasid menjaringkan gol sulungnya pada tahun ini buat Malaysia. Sejurus jaringan tersebut, pemain berusia 26 tahun meraikan jaringan tersebut dengan satu keraian yang unik dalam aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon, malam tadi.
Keraian tersebut merupakan simbolik kepada isterinya, Syifa Melvin yang kini sarat hamil mengandung selama enam bulan dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ingin ‘menghadiahkan’ jaringan itu kepada isterinya.
“Gol itu hadiah kepada isteri saya (yang mengandung). Doakan kami semoga selamat semua. (Kandungan) dah masuk enam bulan,” jelasnya menerusi video yang dikongsikan Flash Sukan.
https://twitter.com/FAM_Malaysia/status/1668991148180766721?s=20
Jaringan Safawi terhasil dengan gerakan yang cukup cantik setelah menerima hantaran tepat Lee Tuck. Ianya disambut cemerlang pemain tersebut diikuti dengan satu sungkitan melepasi pertahanan sebelum disudahkan dengan sepakan voli deras sebelum sempat jatuh ke tanah menewaskan penjaga gol lawan, Philip Mango.
Gol tersebut bukan sahaja menggamit 12,265 penyokong yang hadir ke stadium malahan mendapat perhatian orang ramai termasuk media antarabangsa, B/R Football yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Ketika artikel ini ditulis, ciapan dengan kapsyen “adds Malaysia’s Safawi Rasid to the Puskas list” daripada akaun media berkenaan merekodkan lebih 600,000 tontonan, hampir 9,000 likes serta sekitar 4,500 ulang ciap (retweet) di platform Twitter.
*adds Malaysia's Safawi Rasid to the Puskas list*
(via @ASTROARENA) pic.twitter.com/EZp4J5UCns
— B/R Football (@brfootball) June 14, 2023
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) itu turut menyaksikan Malaysia berhasil mencetak kemenangan bergaya 4-1 hasil jaringan tiga pemain lain lagi iaitu Paulo Josue, Arif Aiman dan Lee Tuck. Bagaimanapun, skuad kendalian Kim Pan-gon bermula dengan langkah kiri apabila ketinggalan satu gol pada minit ke-11 permainan.
Untuk rekod, pemain kelahiran Terengganu itu telah menjaringkan 19 gol daripada 53 penampilannya bersama skuad senior kebangsaan dan jaringannya semalam menamatkan kemarau jaringan bagi musim 2023.
Featured Image: Football Association of Malaysia