KUFC Ambil Khidmat Jurulatih Yang Membimbing Chiangrai United Juarai Liga Thai 1
June 15, 2023 Hafizuddin Omar

Kekosongan posisi ketua jurulatih kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Kelantan United FC (KUFC) kini diisi oleh individu yang pernah membuat kejutan membimbing Chiangrai United menjuarai saingan Liga Thai 1 pada tahun 2019.

Individu tersebut ialah Ailton Dos Santos Silva kelahiran Brazil yang kini berusia 56 tahun. Skuad berjulukan Sang Kijang Hijau mengesahkan perlantikan jurulatih berkenaan menerusi satu makluman yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial miliknya, pada hari ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, KUFC melantik Ailton atas faktor pengalamannya dalam kancah bola sepak asia tenggara selepas membimbing dua kelab dalam saingan Liga Thailand. Sebelum menyertai KUFC, Ailton merupakan ketua jurulatih Chiangmai United.

Difahamkan, Ailton diberikan tanggungjawab untuk mengemudi KUFC bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini. Mereka kini di tangga ketiga tercorot selepas mengharungi 13 perlawanan. Dimaklumkan, perlantikannya juga dibuat atas tekad pihak pengurusan untuk mengembalikan semula kelab dalam persaingan liga.

Untuk makluman, KUFC bertindak merehatkan seketika ketua jurulatih sebelum ini, Tomas Trucha sebelum melantiknya kembali sebagai ketua jurulatih bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) yang beraksi dalam kancah Piala MFL.

Kemudiannya, kekosongan itu diisi secara sementara oleh penolong ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor bermula aksi ketujuh Liga Super menentang Kuching City FC sekitar awal April lalu.

Featured Image: Chiangrai United FC

Komen