Pemenang Tiga Kali Liga Perdana Inggeris Kini Sertai Brighton & Hove Albion
June 15, 2023 Meor Mohamad Amirul

Selepas kehilangan tonggak tengah utama, Alexis Mac Allister yang berhijrah ke Liverpool, skuad berjulukan The Seagulls mengambil keputusan untuk mendapatkan legenda Liverpool dan Manchester City, James Milner. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang kelab dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial mereka yang menyambut mesra kedatangan bekas pemain kebangsaan England itu.

Turut dimaklumkan, Milner akan beraksi bersama Brighton dengan kontrak selama setahun yang disertai pilihan lanjutan selama setahun.

Kini berusia 37 tahun, Milner yang cukup dikenali sebagai pemain yang cukup versatil dan boleh beraksi di mana-mana posisi seluruh padang itu meninggalkan Liverpool selepas tujuh tahun berkhidmat di bawah Jurgen Klopp. 

Pengendali Brighton, De Zerbi berasa sangat gembira dan mengalu-alukan kehadiran Milner bersama pasukan berdasarkan kemampuan dan pengalaman yang bakal ditonjolkan pemain tersebut. 

Pemain kelahiran Leeds itu memulakan kariernya bersama Leeds United tetapi namanya mula dikenali ketika bersama Manchester City dan Liverpool dangan 13 trofi telah dimenanginya bersama kedua-dua kelab tersebut.

Sebagai rekod, Milner kini merupakan pemain ketiga dengan penampilan Liga Perdana Inggeris terbanyak iaitu sebanyak 619 perlawanan, di belakang Ryan Giggs (632) dan Gareth Barry (652).

Featured Image: Liverpool

Komen