Hasrat untuk melihat beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mengiringi sepasang lagi gandingan negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ke peringkat suku akhir Terbuka Indonesia 2023 nampaknya tidak kesampaian.
Ini selepas Yew Sin-Ee Yi yang kini menghuni ranking ketujuh dunia tumpas kepada pasangan tuan rumah yang pernah muncul juara di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2019, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin dalam aksi Pusingan 16, sebentar tadi.
Dalam pertemuan tersebut, Yew Sin-Ee Yi terpaksa akur tunduk kepada beregu No.10 dunia terbabit setelah tumpas secara “straight set” dengan skor 20-22 dan 17-21 dalam tempoh 42 minit permainan yang berlangsung di Gelanggang 1, Istora Gelora Bung Karno, Senayan.
Kapal Api Group Indonesia Open 2023
MD – R16
🇮🇩Leo Rolly CARNANDO🏅
22 21 🇮🇩Daniel MARTHIN🏅
🇲🇾ONG Yew Sin
20 17 🇲🇾TEO Ee Yi🕚 in 42 minutes
— BWFScore (@BWFScore) June 15, 2023
Untuk makluman, sebelum ini, Yew Sin-Ee Yi berhasil melakar dua kemenangan secara berturut-turut dalam dua pertemuan terakhir daripada tiga pertembungan secara keseluruhan menentang gandingan ini.
Pada masa yang sama, kekalahan ini turut menyebabkan Yew Sin-Ee Yi tidak dapat meneruskan konsistensi mara ke peringkat suku akhir setelah berjaya melakukan demikian ketika beraksi dalam saingan Terbuka Singapura dan Malaysia Masters, baru-baru ini.
Sementara itu, lawannya yang berhasil mara ke peringkat suku akhir akan menantikan cabaran samada daripada beregu Jepun merangkap pilihan ketiga kejohanan, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi atau pasangan Korea, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae bagi merebut tiket ke peringkat separuh akhir.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023