Kedah Darul Aman FC (Kedah) telah mencapai persetujuan bersama dengan penyerang, Willian Lira untuk berpisah selepas perbincangan mendalam dari kedua-dua pihak.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikongsikan pelbagai media sosial kelab sekaligus menimbulkan tanda tanya hala tuju penyerang Brazil itu selepas jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga-M) dibuka Julai nanti.
Memetik kenyataan yang sama, Kedah turut mengakui berat hati dan terkesan untuk melepaskan pemain berusia 30 tahun itu tetapi tetap menghormati keputusannya untuk membawa haluan yang berbeza selepas ini.
THANK YOU LIRA AND YOU'LL ALWAYS BE SANG KENARI!
KDA FC dan Willian Lira Sousa telah mencapai persetujuan bersama untuk berpisah selepas beberapa perbincangan mendalam dari kedua-dua pihak. pic.twitter.com/K4YoTen3AU
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) June 16, 2023
“KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willain Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusan beliau untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringan beliau cukup baik dalam setiap perlawanan.”
Untuk makluman, Willian Lira merupakan penjaring terbanyak Kedah setakat ini setelah menjaringkan 8 gol daripada 14 penampilannya bersama skuad berjulukan Sang Kenari.
Biarpun bermula perlahan dan menerima kritikan kurang menyenangkan daripada para penyokong, Lira mengakhiri kariernya di Kedah musim ini dengan menjaringkan lima gol daripada lima perlawanan terakhirnya termasuk dalam perlawanan menentang Perak, baru-baru ini.
Pemergian Lira turut bermakna Kedah kini memiliki satu slot pemain import antarabangsa yang akan memberi ruang kepada Nafuzi Zain untuk membentuk gandingan ampuh di bahagian serangan bersama Jonathan Balotelli.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC