BAJTC 2023: Skuad Malaysia Pertaruh Juara Kejohanan Remaja Itali
June 16, 2023 Meor Mohamad Amirul

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menamakan barisan pelapis terbaik negara seperti juara perseorangan wanita Remaja Itali 2023, Ung Yi Xing bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Asia (BAJTC) kali ini.

Selain Yi Xing, gandingan Aaron Tai Wei Qin dan Kang Khai Xing yang menjuarai kejohanan yang sama turut tersenarai bersama-sama juara Remaja Czech 2022, Ong Xin Yee.

Badan induk badminton negara menerusi laman sesawangnya mengumumkan 16 pemain skuad Malaysia yang terdiri daripada lapan wakil lelaki serta perempuan berusia 17 dan 18 tahun. 

Senarai tersebut terdiri daripada pemain lelaki iaitu Eogene Ewe Eon, Jan Jireh Lee, Muhammad Faiq Haziq, Bryan Jeremy Goonting, Low Han Chen, dan Lok Hong Quan.

Manakala, pemain wanita pula dibarisi Siti Zulaikha Azmi, Carmen Ting, Lai Ting Cen, Chong Jie Yu, Clarissa San dan Chan Wen Tse yang hadir sebagai satu-satunya pemain simpanan (reserve). 

Sasaran untuk skuad kebangsaan pada kali ini hanya akan dimuktamadkan sebaik undian pasukan selesai pada 27 Jun 2023 (Selasa).

Sebagai tambahan, BAJTC 2023 akan berlangsung bermula 7 hingga 11 Julai bagi acara berpasukan manakala pertandingan individu pula akan diteruskan pada 12 hingga 16 Julai di Yogyakarta, Indonesia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen