Artikel

Lee Chong Wei Calon Sesuai Isi Kekosongan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan

Bekas pemain beregu lelaki No.1 negara, Tan Boon Heong tidak memikirkan nama lain bagi mengisi kekosongan jawatan Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) Akademi Badminton Malaysia (ABM) melainkan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau yang juga salah seorang Panel Penasihat Teknikal ABM mencalonkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu ketika ditemui selepas pelancaran kejohanan 3v3 TotalEnergies x Li-Ning Cup 2023 di IOI City Mall, Putrajaya.

Pada masa yang sama, beliau menyifatkan perletakan jawatan oleh penyandang terdahulu, Wong Choong Hann bukan sesuatu yang buruk malah memberi ruang untuk melantik individu baharu sekaligus berpeluang untuk meningkatkan lagi sektor berkenaan.

“Calon yang paling sesuai tu Datuk Lee Chong Wei, jadi kita harap dia akan masuk dan tolong skuad kebangsaan kita,” katanya ketika menjawab soalan dilontarkan oleh wartawan, tengah hari tadi.

Untuk makluman, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Choong Hann yang merangkul pingat perak di Kejohanan Dunia BWF 2003 meletakkan jawatan selepas hampir lima tahun menyumbang bakti kepada BAM serta ABM.

Beliau mula berperanan sebagai Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) selepas BAM mengumumkan struktur kejurulatihan baharu bagi skuad senior bermula Disember 2021. Pada ketika itu, Rexy Mainaky turut diumumkan sebagai Pengarah Kejurulatihan (Beregu).

Dalam kenyataan yang sama, BAM memaklumkan memulakan pencarian individu yang berkebolehan untuk menggantikan kekosongan jawatan terbabit. Ianya akan mengambil proses yang lama dan individu yang terpilih akan diumumkan secara rasmi kelak.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh

komen