Kim Pan-gon: Natxo Tidak Bersedia Untuk Beraksi, Feroz Cedera Hamstring
June 16, 2023 Hafizuddin Omar

Dua pemain johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Natxo Insa dan Feroz Baharudin terpaksa dilepaskan daripada kem latihan pusat ekoran masalah kecederaan.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengesahkan perkara itu menerusi satu siaran media yang dikongsikan oleh pelbagai platform media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Jurulatih berusia 54 tahun itu menjelaskan pemain tengah kelahiran Sepanyol, Natxo didapati tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon (14 Jun) dan Papua New Guinea (20 Jun) dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 setelah pemantauan harian dilakukan oleh doktor dan ahli fisioterapi pasukan.

Sementara itu, Feroz pula yang diturunkan dalam perlawanan menentang Kepulauan Solomon pada Rabu lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring.

Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.” kata jurulatih kelahiran Korea terbabit.

Difahamkan dengan ketiadaan pemain berusia 37 dan 23 tahun masing-masing itu, Pan-gon akan meneruskan kem latihan pusat dengan baki 24 pemain termasuk Shahrel Fikri dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua dari benua Oceania yang menghuni ranking ke-159 dunia.

Dalam kenyataan yang sama, Pan-gon berharap kedua-dua pemain tersebut sembuh dengan cepat dan dapat beraksi dalam saingan domestik bersama skuad berjulukan Harimau Selatan seterusnya kembali cergas untuk dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya akan datang.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen