TotelEnergies Malaysia dan Li-Ning Malaysia tampil menganjurkan kejohanan rasmi badminton 3v3 (tiga lawan tiga) yang pertama di negara ini buat pemain bukan profesional dengan tawaran hadiah berupa wang tunai berjumlah RM338,800.
Kejohanan yang diberikan nama 3v3 TotalEnergies x Li-Ning Cup 2023 ini akan bermula dengan pusingan kelayakan yang akan berlangsung di empat buah bandar iaitu Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kuching dari 15 September hingga 22 Oktober. Manakala grand finale pula akan dilangsungkan di ibu negara pada 18 dan 19 November.
Kejohanan badminton 3v3 ini mempunyai empat kategori:
- Pasukan Lelaki dengan dua kumpulan umur – bawah 30 dan ke atas 30 tahun
- Pasukan Terbuka Campuran (Mixed Open Team) dengan sekurang-kurangnya seorang pemain wanita
- Pasukan Keseronokan Campuran (Mixed Fun Team) dengan sekurang-kurangnya seorang pemain di bawah umur 15 tahun
Untuk makluman, yuran pendaftaran yang dikenakan bagi setiap pasukan untuk menyertai kejohanan ini adalah RM300 dengan setiap penyertaan akan dihadiahkan cenderahati bernilai RM900. Tempoh pendafataran adalah bermula dari 1 Jun hingga 15 Julai.
Kejohanan ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja. Namun begitu, pemain kebangsaan atau profesional yang telah menyertai kejohanan antarabangsa di bawah kelolaan Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam tempoh lima tahun yang lalu (2018-2023) tidak layak untuk menyertai kejohanan ini.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kejohanan badminton 3v3 pertama anjuran TotalEnergies dan Li-Ning di luar China bagi rantau asia tenggara. Di China, siri kejohanan ini dipertandingkan dengan nama TotalEnergies Li-Ning Li Yongbo Cup 3V3 di lebih 20 bandar setiap tahun sejak 2017.