Piala Asia B-17: Malaysia Gagal Tempah Tiket Ke Piala Dunia
June 19, 2023 Meor Mohamad Amirul

Skuad kendalian Osmera Omaro terpaksa melupakan peluang untuk mara ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) selepas tewas di tangan tuan rumah, Thailand dalam aksi kedua Piala Asia B-17, semalam. 

Skuad B-17 kebangsaan turun dengan misi wajib menang bagi menghidupkan semula peluang ke Piala Dunia selepas dibenam Yaman dengan keputusan 4-0 pada perlawanan pembukaan tempoh hari. 

Namun, segalanya musnah buat skuad remaja negara selepas anak buah Pipob On-Mo menjaringkan tiga gol sekaligus menutup rapat sebarang kemungkinan untuk Malaysia layak ke peringkat seterusnya.

Jaringan negara gajah perang itu dihasilkan oleh Chanasorn Choklap, Phacarapol Lekkun dan Chanothai Kongmeng meletakkan mereka kini kekal di tangga kedua Kumpulan A di belakang Yaman dengan jumlah mata yang sama tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan. 

Ini juga merupakan perlawanan kedua berturut-turut yang menyaksikan anak buah Osmera Omaro gagal menjaringkan gol dan kini menghuni kedudukan terbawah kumpulan tanpa sebarang mata diperoleh. 

Malaysia akan mengakhiri saingan kumpulan bertemu negara serantau, Laos pada 21 Jun (Rabu) di Stadium Thammasat, Thailand. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia melepasi peringkat kumpulan adalah pada tahun 2014 di bawah kendalian Hassan Sazali Waras. 

Featured Image: Asian Football Confederation

Komen