Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen kini telah menyamai rekod kemenangan Grand Prix (GP) yang dicatatkan bekas pelumba legenda kelahiran Brazil, Ayrton Senna menerusi kemenangan di GP Kanada, awal pagi tadi.
Pelumba kelahiran Belanda itu menjuarai perlumbaan di Litar Gilles-Villenueve dengan catatan masa 1 jam, 33 minit dan 58.34 saat sekaligus mencatatkan kemenangan ke-41 di dalam kariernya setakat ini.
Kemenangannya itu meletakkan Verstappen berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Senna di tangga kelima kedudukan pelumba dengan kemenangan GP terbanyak sepanjang masa, dibezakan dengan 10 kemenangan dengan Alain Prost (51).
Max's ascent continues 📈#CanadianGP #F1 pic.twitter.com/yMNdckePzG
— Formula 1 (@F1) June 19, 2023
Rekod kemenangan GP terbanyak masih lagi dipegang pelumba United Kingdom, Lewis Hamilton yang kini memiliki 103 kemenangan. Pelumba Mercedes itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bagi saingan GP Kanada.
Dalam pada masa yang sama, kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan GP ke-100 di Formula 1 buat Red Bull Racing serta meneruskan rentak kemenangan keempat sejak di Miami, Amerika Syarikat pada awal Mei lalu.
Untuk makluman, Max Verstappen merupakan juara bertahan Formula 1 buat dua musim berturut-turut sejak 2021 dan kini mendahului saingan musim ini dengan 195 mata, dibezakan sebanyak 69 mata dengan Sergio Perez di tempat kedua.
Featured Image: Formula 1