Pan-gon Tak Tahu Malaysia Pernah Tumpas Kepada Papua New Guinea
June 19, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon baru sahaja mengetahui bahawa Malaysia pernah tumpas di tangan Papua New Guinea ketika bertemu dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di negara berkenaan sekitar tujuh tahun yang lalu.  

Beliau hanya maklum akan perkara berkenaan apabila ditanya ketika dalam sidang media praperlawanan Malaysia menentang pasukan di ranking ke-159 dunia berkenaan di Ar Riyadah Residence, Kuala Terengganu pada hari ini.

“Saya tak tahu (mengenai kekalahan itu), bagus untuk mengetahuinya,” kata Pan-gon.

Bagaimanapun jurulatih berusia 54 tahun itu tidak mempedulikan tentang rekod lampau tersebut dan menjelaskan skuad Harimau Malaya bimbingannya pada ketika ini sedang menumpukan kepada kebiasaan mencipta kemenangan serta menjadikan halaman sendiri sebagai kubu.

Sementara itu, pertahanan kiri negara, Corbin-Ong bagaikan senada dengan jurulatihnya mengenai rekod tersebut sambil menegaskan perlawanan pada kali ini menjadi medan untuk para pemain menampilkan corak permainan sepertimana dimahukan oleh Pan-gon.

Tambahnya lagi, skuad Harimau Malaya telah berkembang dengan banyak dan ianya akan menjadi satu perlawanan yang berlainan sama sekali berbanding pada waktu itu.

Sebagai rekod, Malaysia yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee dengan dibarisi pemain-pemain seperti Farhan Abu Bakar (penjaga gol), Azrif Nasrulhaq, Shahrom Kalam, Fadhli Shas, Brendan Gan, Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan lain-lain lagi tumpas 0-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sir John Guise.

Untuk makluman, Malaysia dijadualkan melayan kunjungan Papua New Guinea yang baru sahaja mengikat Singapura dengan keputusan 2-2 beberapa hari lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) pada malam esok.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen